Realis

Thursday, September 22, 2011

|Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya


Assalamualaikum W.B.T.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak memiliki ijazah untuk berjaya. Begitu juga dengan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang hanya bersekolah sehingga beliau berumur 16 tahun. Begitu juga dengan Bill Gates yang tidak menghabiskan pengajiannya. Namun, tokoh-tokoh di atas mampu berdiri dengan megah di atas puncak kejayaan dan kemewahan. “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Kemewahan dan kejayaan yang diperolehi bukan datang dengan mudah tetapi apa yang penting niat dan usaha bagi mencapai apa yang dihajati adalah resepi kejayaan yang diperoleh. Bukan mengatakan bahawa pelajaran tidak penting, tetapi apa yang lebih penting adalah usaha dan kesungguhan selain tawakal kepada-Nya mengatasi segalanya. Tertarik dengan rencana yang ditulis oleh Esa Abd Samad, seorang guru kaunseling di dalam salah satu akhbar tempatan baru-baru ini yang menyatakan jangan dipinggir pelajar yang gagal. Katanya, tumpuan yang diberikan kepada pelajar cemerlang secara tidak langsung meminggirkan pelajar yang tidak cemerlang. Mentaliti masyarakat pula melihat kecemerlangan akademi adalah segala-galanya sedangkan menurut beliau pengertian ilmu itu sangat luas. 


Kunci kejayaan sebenar terletak kepada kekuatan diri kerana kejayaan itu sendiri adalah milik sesiapa saja yang berusaha ke arahnya. Tidak kira sama ada cemerlang di dalam pelajaran dan memiliki bergulung-gulung ijazah ataupun tidak cemerlang di dalam pelajaran dan tidak memiliki apa-apa sijil sekalipun, jika rajin berusaha dan tidak membazirkan masa yang terluang, kejayaanlah yang akan menjadi upahnya. Kenyataannya, J.K Rowling pernah hidup merempat dan mengharapkan bantuan makanan bagi meneruskan hidupnya. Namun, usaha dan minat dalam penulisan telah mengangkat namanya antara manusia terkaya di dunia. Begitu juga dengan kisah Tan Sri Loh Boon Siew yang langsung tidak pernah memiliki pendidikan formal di sekolah yang mana hasil usaha gigih dan kesungguhan jitu, berjaya menubuhkan empayar perniagaan atas label ‘Boon Siew Honda’nya. Potensi manusia berbeza-beza. Begitu juga bakat dan minatnya. Manakala sekolah-sekolah yang ada pula, malangnya, hanya menumpukan kepada kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik. Sekolah akan berasa tercabar sekiranya tidak dapat menghasilkan pelajar yang ‘berkualiti’ dari segi keputusan akademiknya. 


Falsafah pendidikan negara yang menekankan keseimbangan perkembangan potensi intelektual, rohani, emosi dan jasmani tidak akan dapat dicapai menerusi pendekatan ini. Pelajar berkeputusan ‘A’ dalam akademik adalah golongan yang digilap. Sistem pembelajaran yang menekankan konsep baca dan hafal menjadi formula bagi mncapai kejayaan. Hasilnya, pelajar, pihak sekolah dan ibu bapa taksub untuk mengejar ‘A’ sehinggakan diluar kesedaran mereka, langkah itu langsung berkecenderungan membantutkan sikap suka bertanya dan berfikir di kalangan anak-anak dan pelajar. Sistem pendidikan yang digunapakai yang menekankan penggunaan bahasa Inggeris pada mata pelajaran Matematik dan Sains misalnya juga seakan mewujudkan jurang perbezaan di antara pelajar cemerlang dan kurang cemerlang justeru menyuburkan lagi sistem baca dan hafal yang digunapakai. Melalui pendekatan ini, modal insan berkualiti dari segi fizikal dan mental yang diharap-harapkan kerajaan sudah pasti tidak akan dapat dilahirkan.


Jika diperhatikan kepada cerita-cerita kejayaan tokoh-tokoh yang disebutkan di atas, proses kejayaan tidak datang dengan mudah dan hanya menerusi keputusan akademik atau pendidikan formal semata-mata. Kejayaan disulami dengan usaha gigih dan ketabahan serta minat dan kecenderungan terhadap sesuatu bidang merupakan kuncinya. Jika sistem pendidikan yang ada lebih menekankan kepada minat dan kecenderungan pelajar terhadap sesuatu lapangan, nescaya modal insaniah yang cemerlang pasti dapat dilahirkan kelak. Kesempatan seimbang dan sama rata perlu diberikan kepada kedua-dua golongan pelajar sama ada cemerlang ataupun tidak dalam meniti kejayaan. Bukan menidakkan kepentingan kecemerlangan akademik tetapi sekadar mencuri pandangan dan perhatian dalam membela ruang yang seimbang dan sama rata kepada pelajar yang kurang cemerlang ini menempa kejayaan yang senantiasa menjadi buruan manusiawi.


No comments:

Post a Comment